Anak Kucing Buta

semalam aku bertemu
anak kucing kecil kelabu
yang buta dan cedera
sudah tidak kenal
indah dunia

aku jadi malu
manusia yang berakal
hilang pertimbangan
ditinggal manusia syaitan
itu yang kau tangiskan?

cuba pula kau nanti
sebelah mata dibawa pergi
masihkah kau tangisi
manusia syaitan tadi?

Maisarah Atan, 18th June 2013

Hari Isnin baru-baru ini saya bawa anak kucing baru kami ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Gombak di pekan Rawang untuk pemeriksaan. Bagus tempat ni. Kalau kita hantar ke klinik swasta, kata seorang kawan, jejak kaki sahaja dah RM150.

Di sini harga yang dikenakan berpatutan dan kalau tak perlu, tiada rawatan dikenakan, tak perlu bayar.

Saya pernah share gambar anak kucing baru ni di Facebook dan Instagram. Tapi sebab saya over-excited jadi saya tepek sini pulak:

anak kucing

Sebagai manusia yang baik, wajiblah anda cakap “Comelnya anak kucing you!”

Anak kucing ni dijumpai minta makanan depan rumah. Oleh kerana terlalu kecil sukarlah untuk tidak jatuh sayang. Jadi kami putuskan untuk simpan dan pelihara. Kami ada 5 kucing di rumah. Semua pandang senget kat anak kucing ni mula-mula tapi sekarang dah pandai layan adik :’)

Semasa di klinik lah saya jumpa anak kucing kelabu yang buta matanya. Dibawa oleh seorang budak perempuan yang sedikit muda daripada saya. Mata anak kucing kelabu ni dah hilang sebelah, dan sebelah lagi buta. Belakangnya terkoyak besar.

“Dah buta. Biji mata dah tak ada. Sebelah lagi tunggu masa. Lepas tu semalam kena belasah dengan kucing besar.”

Alahai. Sebak. Anak kucing kami seolah-olah faham pula dan mengiau kuat sambil memandang ke arah anak kucing kelabu yang lemah. Mungkin bagi semangat…

Saya berfikir sepanjang perjalanan balik. Black (Pakcik Security Guard bagi nama) pun diam. Melayan Klasik Nasional atau mengenangkan sahabatnya si anak kucing kelabu tak tahulah. Dalam hati saya tertanya-tanya. Macam mana perasaannya, kehilangan yang ekstrim begitu?

Anak kucing kelabu itu pastinya lahir sempurna. Dapat melihat bonda dan adik-adiknya. Tapi tiba-tiba suatu hari dia kehilangan bebola mata manakala mata sebelah lagi semakin gelap. Dapatkah dia faham? Atau tidak?

Kalau terjadi pada manusia, rawatan fizikal perlu disertai rawatan psikologi. Rawat batin yang telah terhempas seiring dengan ubat-ubat tahan sakit dan segala yang lain. Perlu dijaga emosinya. Perlu didukung perasaannya.

Anak kucing kelabu itu paling-paling pun diberi antibiotik setelah dicuci luka. Andai umurnya panjang, dia akan sihat tapi tak nampak. Tapi nalurinya tetap ada untuk mencari makanan. Tidak perlu diberi kaunseling. Dia tahu dia perlu hidup selagi nyawa mengizinkan.

Kita khalifah di dunia. Tapi ternyata kita paling lemah.

Pokok anggur Mak saya di depan rumah ni pun melilit tiang untuk hidup. Kita? Nak pergi interview kerja pun malas. Dah kena maki di interview, terus berangan nak jadi usahawan. Taknak kerja bawah orang. Tapi tak usaha pun. Beralasan banyak padahal perasan bagus dan malas. Pui.

Dimarah bos kita stress.
Dibebel isteri kita stress. 
Tak dapat bonus kita stress.
Putus cinta kita stress.
Bila stress, jatuh sakit.
Jatuh sakit, lagi stress.

Kalaulah tahu dek anak kucing kelabu yang buta itu perihal sakit mental manusia, barangkali dia ketawa tergolek-golek. Malu kita pada anak kucing kelabu yang bersemangat menegakkan nyawa. Sedangkan kita? Mati sebelum ajal. Bersuara pun malas. Mengundi pun malas. BR1M keluar, bergegas. Heh.

Nota kecil: Beberapa KM sebelum sampai rumah saya nampak Black kais-kais kain alas sangkar. Baru saya teringat. Dia diberi ubat cacing tadi. Saya rayu padanya. "Budak kecik tabahkan hati. Kita dah nak sampai." Tapi dia tak mampu. Perlahan dia cangkung dan mengerdipkan matanya beberapa kali pada saya yang sedang memandu. Saya turunkan tingkap dan berserah. Black beri saya "hadiah".

cat playing chess

 



1 thought on “Anak Kucing Buta”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge