Dari Mahkamah

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Tepat pukul 9.15 AM saya menaiki tangga Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Tercari-cari Dewan Perbicaraan 4 yang bakal memberi 1001 gambaran, pandangan dan idea baru tentang cinta.

Saya menolak pintu dewan perbicaraan dengan hati yang berbaur. Terdengar beberapa suara sahaja di dalam, tapi saya tahu ada ramai. Tapi yang lain tiada suara. Cuma nafas dan bisik-bisik. Selangkah, dan saya undur kembali. Betul ke apa yang aku buat ni? Pengalaman ini terlalu baru, terlalu asing. Telefon sudah mula berdering. Lalu saya nekad saja.

Saya masuk, dia sedang melihat ke pintu, menggamit saya duduk di baris belakangnya yang kebetulan kosong. Kami bersalam dan bertanya serba sedikit sebelum duduk. Hakim sudah bersedia memulakan perbicaraan. Seorang wanita muda dipanggil ke meja plaintif. Langkahnya tegas, tapi malu-malu.

“Yang Arif, nama saya Maisarah.” Saya tersentak. Wanita ini sama namanya dengan saya. Saya cuit bahu kawan saya. “Kak, nama dia Maisarah.” Dia angguk. “I dah cakap, ada hikmahnya kan?” Memang betul. That girl could be THIS Maisarah. Me.

Saya mendengar penuh teliti. Sayup-sayup suaranya yang agak bergetar, dia memohon untuk berpisah dengan suaminya. Suaminya telah melafaz cerai, hanya kerana dia enggan memohon pinjaman bagi pihak suaminya.

Tapi dia kurang faham prosedur mahkamah. Di Malaysia, bernikah memang dengan sebaris lafaz. Tapi bercerai tidak mudah. Lalu hakim memberi nasihat sedikit sebanyak dan meluluskan permohonan untuk menggunakan kuasa mahkamah memanggil suami datang perbicaraan. Dia berpaling, saya nampak air matanya bergenang.

Dia melangkah cepat-cepat keluar daripada dewan perbicaraan, dan hakim memanggil untuk kes seterusnya. Saya ingin sekali mendapatkannya dan mengesat air matanya. Saya ingin memeluknya untuk beri kekuatan sesama Muslimah. Saya ingin dia kuat. Jangan menangis kerana lelaki yang khianat

Dalam konsep jodoh seringkali kita mendengar “Perempuan baik untuk lelaki yang baik.” sebagaimana disebut dalam surah An-Nur, ayat 26:

(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan- perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang- orang (yang jahat) mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.

Sesuatu yang Allah takdirkan itu, samada baik atau buruk, adalah berserta ujian. Yang terseksa itu sedang diuji, yang bahagia juga sedang diuji. Saya belajar pada hari itu, kadangkala Allah tarik sesuatu daripada kita kerana tak sesuai, dan Allah telah sediakan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Terang-terang, wanita baik ini tidak layak dimiliki seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Perkahwinan yang berlaku itu memang atas kehendak Allah, dan pengkhianatan itu adalah satu ujian. Ujian untuk menaikkan tarafnya di sisi Allah. Mungkin juga ada yang Allah nak ajarkan kepadanya. Mungkin soal iman, mungkin soal sabar. Tiada siapa yang tahu. Tiada siapa yang bisa menafsirkan cinta Allah pada hamba-hambaNya.

Saya melangkah keluar daripada dewan perbicaraan dengan segala macam idea baru yang tak terungkap dengan kata-kata. Yang pasti, saya bersyukur dengan kurniaan Allah, dan tidak akan sekali-kali mempersoal kasih sayangNya. Lain-lain kisah perbicaraan insya Allah akan saya kongsikan dalam entri yang akan datang 🙂

Thank you for reading!

2 comments

  1. Wawa says:

    Hah? Suami lafaz cerai just of xnk wat kan loan tuk dia? Thankful Allah! X perlu ada suami mcm ni dlm institusi perkahwinan.

    • Maisarah Atan says:

      Yes sayang. Terkejut I dengar. Tapi tak apa lah. Dia dah melangkah keluar daripada perkahwinan tu dah cukup bagus…

Leave a Reply

CommentLuv badge