Semuanya Pilihan Anda

“Every woman has the exact love life she wants.” Ini yang dituturkan oleh karakter yang dibawa oleh Dermot Mulroney dalam filem “The Wedding Date”.

Filem ini simple sahaja. Seorang perempuan awal 30-an (Debra Messing) akhirnya memilih untuk mengupah seorang lelaki (Dermot Mulroney) menjadi pasangan unutk menghadiri perkahwinan adiknya. Dia juga pernah hampir kahwin tapi ditinggalkan tunang di saat akhir. Sejak itu dia terperangkap dalam masa silam dan akhirnya terpaksa mengupah “boyfriend berbayar”.

Jujurnya saya dah tonton filem ini berkali-kali tapi semalam lain perasaannya.

Anda setuju tak kalau saya katakan, kehidupan yang anda lalui sekarang adalah pilihan anda sendiri? Dalam hidup ini kita akan berhenti di banyak persimpangan. Hidup ini memang seperti jalan-jalan. Di persimpangan itu pula, kita akan buat pilihan samada kiri atau kanan, terpulang kepada hati dan akal anda ketika itu.

Apa yang berlaku kemudian, adalah dalam pakej yang telah anda pilih tadi.

Buka mata dan hati. Berapa kali perkara buruk berlaku pada anda, dan anda bangkitkan persoalan kalau?

Saya tidak suka menyebut “Kalau” sebab saya pasti dan yakin, apa yang terjadi adalah kerana saya yang pilih. Manusia dikurniakan naluri yang sangat kuat. Sedikit sebanyak Tuhan telah tunjukkan jalan tapi seringkali kita abaikan kerana kita degil.

Kita memilih untuk berani menanggung risiko meskipun jalan yang kita pilih itu ternyata pahit dan susah. Mengapa tidak berani pula menanggung apa yang berlaku di hujung pilihan itu?

Dalam filem “The Wedding Date”, Dermot Mulroney ada menyebut “When you’re ready to let go, to be un-single and un-miserable, you will. Till then…”

Mendalami topik ini dalam aspek cinta, saya akui ayat ini benar. Jodoh itu hanya akan datang apabila kita sudah bersedia. Tapi kalau fikiran masih dalam cengkaman kenangan lama, bagaimana jodoh yang baik akan datang? Yang datang adalah cuma yang ingin ambil kesempatan atas kelemahan hati.

Kita mengadu betapa susah untuk “move on” tapi tiap-tiap hari kita seolah-olah melakonkan dalam minda bagaimana hubungan itu berakhir, apa yang dia kata, apa yang kita jawab… dan lebih bodoh, kita seolah-olah mencari jalan bagaimana dapat diselamatkan hubungan tersebut.

Terus terang, saya pernah bodoh begitu. Tapi sekarang tidak!

Sekiranya hidup ini seperti jalan-jalan, pastinya ada jalan untuk pulang.

Jika anda berfikir begini, anda akan hidup lebih baik. Lebih yakin. Tambahan pula, kita ada Tuhan. Tuhan yang telah merancang sebaik-baik tetapan takdir untuk kita. Baik atau buruk, di sebalik tetapan itu pasti ada hikmahnya. Maka mengapa perlu takut?

Seandainya anda terperangkap dalam situasi yang menyakitkan (yang sepatutnya anda boleh bahagia), itu semua anda yang pilih. Tiada orang yang tidak diberi pilihan dalam dunia ini. Kekal dalam situasi itu juga adalah satu pilihan.

Saya tidak mahu jadi perempuan yang meletakkan diri dalam kedukaan saat saya boleh hidup gemilang dan bahagia. Saya pernah, memilih untuk diam dan memendam perasaan tapi tidak lagi.

Semoga kamu yang membaca ini juga ada keberanian sedemikian.

dermot mulroney and debra messingSaya jatuh cinta dengan Dermot Mulroney kerana filem ini.



1 thought on “Semuanya Pilihan Anda”

  • Saya suka ayat ni “Dalam hidup ini kita akan berhenti di banyak persimpangan. Hidup ini memang seperti jalan-jalan. Di persimpangan itu pula, kita akan buat pilihan samada kiri atau kanan, terpulang kepada hati dan akal anda ketika itu.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge