Saya Bakal Gagal

Dah lama saya fikir akan kemungkinan ini. Saya memang akan gagal. Seumur hidup saya tidak pernah tertanya-tanya akan haluan hidup. Kenapa? Sebab semua benda orang lain aturkan. Saya anak sulung. Anak eksperimen. Sentiasa dilorongkan kepada kecemerlangan (pada erti orang lain) walaupun jalan itu bukan kehendak saya. 

Saya nak masuk aliran Akaun. Mak kata Sains lebih baik. Mak nak sorang anak jadi doktor. Adik lelaki saya dah memang minat berbengkel-bengkel. Dia lebih suka membelek kenderaan daripada manusia (OK saya telah menggambarkan kerjaya doktor sebagai agak pervert di situ). Saya suka jadi doktor. Tapi saya bodoh Biologi dan Kimia dan Fizik. Tiga serangkai kekuatan aliran Sains. Semua saya cemerlang dari belakang. 

Tamat Tingkatan 5 yang tak ada lah “warna berterbangan” (flying colors), saya tak dapat kursus yang saya impikan. Kursus yang ditawarkan adalah pilihan ke enam. Enam! Daripada lapan pilihan. Tiba-tiba timbul rasa marah. Walaupun saya tak dapat straight A macam Amalina tu, saya tak ada lah bodoh sangat sampai tak layak diberikan kursus yang saya mintak. Saya telefon UPU. Orang gomen yang kait benang biri-biri masa lunch tu marah saya balik. 

“Siapa suruh letak kalau tak minat?”

Pergh. Saya suka soalan Makcik Gomen ni. Kalau aku tahu kau nak bagi aku pilihan hujung, baik jangan bagi priority 8 tu. Letak je arahan “Sila senaraikan kursus yang anda nak. Maksimum 8 pilihan” Jadi tak ada lah aku terhegeh-hegeh letak 8. Orang letak 8 pilihan sebab takut tak dapat pilihan yang top 4 tu nanti tak masuk universiti pulak. Tapi tak apa lah. Walaupun 3 hari menangis, sampai tak mandi, hanya main Minesweeper depan PC, saya terima jugak tawaran tu. 

Bila buat Degree pun sama. Abah kata, kursus ni dulu kau taknak. Degree ambik lah kursus yang kau minat. Kau ada potensi amik bidang ni. Pilih yang ni lah! OK saya ikut je. Saya pun tak tau apa yang saya minat. Lepas 3 tahun, dapat Degree. Tapi enggan kerja industri tu sebab balik lambat. Chewah padahal masa belajar dulu sampai melebihi 12AM di bilik editing takde hal. Bila kerja, taknak. Tu lah dia. Tak minat… Jadi saya akhirnya bertukar karier. Tapi masih dalam aliran yang sipi-sipi dengan kursus tu lah. Kena la cover sikit. Nanti macam pelik eh apahal kau graduate lain, kerja lain? 

Tak lama  lagi, gagal lah saya ni. Tak ada yang boleh tahan dalam sesuatu rutin harian yang tidak kena dengan jiwa. Jiwa saya memberontak hari-hari. Saya perlukan udara segar. Saya perlu berubah. Terlalu lama saya membiarkan kegagalan mendekati saya. Dia dah hampir, tapi belum dapat tangkap saya lagi. Alhamdulillah saya muda, otak fresh. Jadi belajar apa pun boleh masuk. Kalau saya malas sikit, memang CONFIRM GAGAL masa diploma/degree dulu.

Namun kegagalan saya ini belum ditentukan lagi. Saya masih muda untuk cepat-cepat beralih kepada minat saya. Minat saya? Apa minat saya? Saya pun belum discover minat saya. Tapi kalau hampir tiap-tiap hari boleh tulis 500 patah perkataan kat blog ni, mungkinkah menulis minat saya? Mungkin juga. Tapi yang penting mesti cepat. Tak boleh tunggu lama. Nanti dah tua, nak pikir jaga makan lagi, jaga badan, sakit belakang, anak dah lama tak balik kampung, dan segala macam hal yang dirisaukan oleh orang tua-tua. 

Saya bakal gagal kalau tidak berubah sekarang. Sekarang? Ye, saya maksudkan SEKARANG! Lalu semalam saya kuatkan hati menambah aktiviti penulisan serius dalam jadual harian saya. Insya ALLAH kegagalan itu dapat dielakkan.. Insya ALLAH, Amin..



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge